BERITA SEMASA

Potongan harga padi dinilai berdasarkan kualiti, bukan dakwaan semata-mata – Luqman

KUALA LUMPUR – Dakwaan pesawah dianiaya susulan potongan harga padi sehingga 50 hingga 60 peratus perlu dinilai berdasarkan kualiti hasil yang dihantar kepada pembeli, bukannya dibuat tanpa penelitian terhadap proses penggredan.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, penilaian kualiti padi dilaksanakan oleh pembeli padi atau kilang padi komersial berlesen mengikut Piawaian Spesifikasi dan Penggredan Padi MS54:2017.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kadar potongan harga termasuk kandungan air yang tinggi, padi rosak, padi muda atau tidak matang serta kehadiran bendasing seperti tangkai, daun dan serangga.

“Sekiranya padi dihantar dalam keadaan basah, kita perlu gunakan mesin utuk dikeringkan dan ia melibatkan kos kepada kilang.

“Kedua padi rosak yang mana tidak adil kepada pembeli untuk membeli harga padi rosak pada harga biasa.

“Dan ketiga padi muda atau tidak matang serta terdapat bendasing lain seperti tangkai padi, serangga yang menyebabkan berlakunya pemotongan balik oleh pengilang.

“Untuk menyatakan pesawah dianiaya, saya rasa itu keterlaluan sekiranya kita tidak melihat faktor-faktor yang menentukan harga sebenar yang dibeli oleh pengilang,” katanya pada sidang media khas di kilang padi Mukim Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan hari ini.

Tambah beliau, pesawah berhak menyatakan persetujuan atau menolak tawaran pembelian sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan penggredan, selain boleh mendapatkan pilihan pembeli lain.

Menurutnya, Bernas turut berperanan sebagai pembeli pilihan terakhir (buyer of last resort), tertakluk pada kualiti padi yang ditawarkan.

Luqman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya menerima aduan berhubung penggredan atau kadar potongan yang diragui.

“Kita ada prosedur operasi standard (SOP) dan semua pengilang berlesen tertakluk kepada SOP berkenaan. Jika ada aduan, kita akan turun padang dan menyiasat,” katanya.

Beliau turut menggalakkan pesawah berbincang secara langsung dengan pembeli atau pengilang bagi mendapatkan penjelasan mengenai keputusan penggredan, selain melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button