Lelaki ditahan sorok 1.1 kg serbuk emas dalam dubur untuk seludup ke Malaysia
JAKARTA – Taktik seorang lelaki warga India menyembunyikan lebih satu kilogram serbuk emas di dalam duburnya terbongkar apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Sidoarjo, Jawa Timur.
Suspek berusia 31 tahun yang dikenali sebagai MN itu dipercayai cuba menyeludup serbuk emas berkenaan ke Malaysia, dengan nilai keseluruhan dianggarkan 2.9 bilion rupiah (RM652,664).
Menurut laporan Jakarta Globe, pihak berkuasa mengesan pergerakan mencurigakan lelaki itu sebelum mengesyaki dia menyembunyikan bahan berkenaan di dalam tiga kondom yang dimasukkan ke dalam duburnya bagi mengelakkan pemeriksaan.
Suspek kemudian dibawa ke hospital berhampiran untuk menjalani pemeriksaan sinar-X yang mengesahkan terdapat objek mencurigakan di dalam badannya.
“Serbuk emas itu mempunyai berat kira-kira 1,151 gram dengan ketulenan 23.88 karat,” kata Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasarius Virzawan.
Pihak berkuasa menyifatkan kaedah berkenaan sebagai taktik penyeludupan baharu yang dikesan di lapangan terbang itu.
Susulan kejadian, pihak berkuasa akan memperkukuh penyelarasan serta meningkatkan langkah pemeriksaan bagi membendung kegiatan penyeludupan menggunakan taktik serupa pada masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







