JENAYAH & MAHKAMAH

Dua penjawat awam antara lima direman bantu siasatan kes rasuah melibatkan agensi pekerja asing

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor mereman lima individu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada sebuah agensi pekerja asing.

Perintah reman selama lima hari sehingga 1 November terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Dhilip Nair selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen, di sini pagi tadi.

Kelima-lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dengan dua daripadanya merupakan pegawai agensi penguat kuasa persekutuan serta dua wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu, ditahan antara pukul 10 pagi dan 4 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Selangor dan Johor.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2025 dan sebanyak 44 transaksi pindahan wang secara dalam talian bernilai kira-kira RM1 juta telah dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

Kesemua transaksi tersebut dipercayai sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di bawah seliaan agensi tersebut.

Semalam, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama SPRM Johor telah menjalankan operasi bersepadu di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru berhubung siasatan yang telah dimulakan sejak 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) dan 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button