BISNES & EKONOMI

Pelaburan RM218.5 bilion dijangka wujudkan 99,030 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA – Sebanyak 99,030 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi 2,746 projek pelaburan yang diluluskan Malaysia pada separuh pertama tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, pelaburan diluluskan bagi tempoh itu berjumlah RM218.5 bilion, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kejayaan pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlahnya semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan pendapatan pekerja.

“Persoalan lebih penting ialah berapa banyak teknologi dapat dikuasai oleh rakyat Malaysia? Berapa ramai bakat tempatan boleh mengisi jawatan teknikal dan profesional? Berapa banyak syarikat tempatan mampu naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi?” katanya pada Majlis Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) MITI, A.R. Jaya Singam.

Hairil Yahri berkata, pembangunan industri berteknologi tinggi termasuk semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau perlu bergerak seiring dengan usaha melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran relevan.

“Rancangan Malaysia Ke-13 menetapkan sasaran gaji bulanan median RM3,500 menjelang 2030 dan meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sasaran itu, perlu disokong pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6 peratus setahun menerusi penggunaan teknologi, peningkatan kemahiran dan proses kerja yang lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata, pekerja mahir hanya mewakili 30.1 peratus daripada keseluruhan guna tenaga pada 2025, berbanding sasaran nasional 35 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, 15,893 penempatan bakat berjaya dilaksanakan menerusi inisiatif ADI setakat Oktober dengan penyertaan 3,064 syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button