SPRM, AG digesa beri penjelasan isu pelaburan RM1.1 bilion dikaitkan dengan Rafizi
Naib Presiden NGO Profesional Muda, Dr Azizi Azizan berkata, penjelasan rasmi daripada kedua-dua institusi itu penting bagi mengelakkan spekulasi berterusan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses penguatkuasaan dan perundangan negara.
“Malaysia memerlukan budaya politik yang tidak tergesa-gesa menghukum individu tetapi juga tidak mengabaikan kepentingan ketelusan dalam pengurusan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebebasan SPRM dan AG untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing perlu dihormati, manakala semua pihak harus memberikan ruang kepada proses siasatan dan perundangan berjalan tanpa dipengaruhi kepentingan politik.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu diteliti secara matang dan menyeluruh, bukannya berasaskan persaingan naratif politik atau kecenderungan terhadap mana-mana individu.
“Tumpuan juga perlu diberikan kepada cara keputusan dasar yang membabitkan komitmen kewangan negara dibuat, dipantau dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Kita harus mengakui bahawa pelaburan dalam industri semikonduktor merupakan sebahagian daripada usaha penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteknologi tinggi.
“Namun kepentingan strategik sesuatu pelaburan tidak seharusnya mengecualikannya daripada penelitian terhadap aspek tadbir urus, keberkesanan pelaksanaan dan pulangan kepada negara,” tambahnya.
Dalam masa sama, Azizi mengingatkan orang ramai supaya tidak menyamakan proses siasatan dengan pengesahan bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan.
Beliau berkata, perbezaan pandangan terhadap sesuatu keputusan dasar juga tidak semestinya membuktikan berlakunya salah laku, justeru penilaian terhadap Rafizi yang menerajui Kementerian Ekonomi ketika kerjasama berkenaan dimeterai perlu dibuat secara adil.
Menurutnya, penilaian tersebut tidak seharusnya dipengaruhi prasangka atau pertimbangan politik semata-mata, sebaliknya perlu berlandaskan fakta serta hasil proses yang dijalankan pihak berkuasa.
“Apabila sesuatu perkara melibatkan kepentingan awam dan mendapat perhatian masyarakat, penjelasan mengenai perkembangan proses siasatan, setakat yang dibenarkan undang-undang, boleh membantu mengurangkan spekulasi serta meningkatkan kefahaman rakyat,” katanya.
Azizi turut menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara tuntutan supaya seseorang dikenakan hukuman dengan permintaan agar institusi berkaitan memberikan maklumat kepada masyarakat.
“Pada hemat saya, terdapat perbezaan yang jelas antara mendesak seseorang dihukum dengan meminta institusi memberikan penjelasan.
“Yang pertama berisiko mendahului proses keadilan manakala yang kedua merupakan sebahagian daripada amalan akauntabiliti dalam pentadbiran negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk berkongsi maklumat mengenai perkembangan, manfaat dan pencapaian kerjasama strategik berkenaan supaya orang ramai dapat menilai keberkesanannya dari sudut kepentingan ekonomi negara.
Katanya, golongan profesional muda juga perlu mengutamakan perbincangan politik berasaskan fakta, dasar dan keberkesanan institusi, selain menuntut tahap ketelusan serta integriti yang sama terhadap semua pihak.
Terdahulu, wakil Sekretariat Bangkit Nasional (BANGKIT), Khairul Azam Abdul Hamid turut menggesa SPRM dan AG memaklumkan kepada umum hasil siasatan serta kemungkinan tindakan undang-undang berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.1 bilion itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








