Pasport makanan tarik pelancong, bantu peniaga Teluk Intan
TELUK INTAN – Teluk Intan memperkenalkan Pasport Makanan Teluk Intan yang menawarkan pengalaman unik kepada pelancong meneroka kepelbagaian makanan tempatan, selain membantu merancakkan ekonomi peniaga di bandar itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif berkenaan menghimpunkan pengusaha makanan, kafe, restoran dan tarikan pelancongan bagi mengetengahkan keunikan sajian tempatan kepada pengunjung.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan melancarkan inisiatif itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong, baru-baru ini.
Menurutnya, pasport berkenaan mengandungi 20 halaman untuk pengunjung mengumpul cop daripada premis makanan yang mengambil bahagian, sekali gus menggalakkan mereka mencuba pelbagai sajian tradisional dan moden di Teluk Intan.
“Pengunjung yang melengkapkan kesemua 20 halaman dengan mengumpul cop yang ditetapkan layak menebus cenderamata eksklusif di Teck Kee Foodstuff Enterprise,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Inisiatif itu menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 18 premis perniagaan menyertainya bagi mempromosikan kepelbagaian makanan tempatan dan menarik lebih ramai pelancong ke bandar berkenaan.
Antara premis yang mengambil bahagian ialah Kopi Cap Arnab, BSH Enak, Seng Hoe Biscuit, Kafe Xin Asia, Teck Kee Foodstuff Enterprise, AHMA Kopi, Hokkaido Puff, Anson Hainan Kopitiam dan Poh Loong Seafood Restaurant.
Turut menyertai inisiatif itu ialah Wang Kee Bah Kut Teh, Zero Bistro, Uncle Don’s, December Bake & Coffee, Anson Sport Centre, Tech Lab Studio dan Kedai Biskut GL, selain Teluk Intan Firefly Marvels River Cruise Park.
Kor Ming berkata, inisiatif itu turut menggalakkan pengunjung meneroka lokasi di luar destinasi pelancongan popular, sekali gus memberi peluang kepada peniaga tempatan memperluas pasaran dan menarik pelanggan baharu.
Menurutnya, usaha menjadikan makanan sebagai tarikan pelancongan mampu memberikan pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung, selain mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








