BERITA SEMASAPMX

Kerajaan larang penjawat awam guna Waze, saran rakyat beralih kepada TuJu

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan semua penjawat awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze berikutan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan perlindungan data peribadi pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan itu bagi mengelakkan maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi pengguna daripada berisiko disalahgunakan oleh rejim Israel.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, keputusan berkenaan mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. sebagai pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, kerajaan menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut menghentikan penggunaan Waze dan beralih kepada aplikasi navigasi alternatif tempatan, termasuk TuJu.

Saranan itu dibuat dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan oleh aplikasi alternatif berkenaan.

“Pendirian Kerajaan MADANI adalah tegas dan kita akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat,” menurut PMO lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button