DBKL peruntuk RM6.67 juta naik taraf PPR Taman Mulia
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM6.67 juta bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak, yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,128 penduduk.
DBKL berkata, peruntukan itu meliputi kerja mengecat bangunan, penggantian kabel elektrik utama dan papan suis utama, penurapan jalan serta pemasangan sistem pencegahan kebakaran bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penghuni.
Menurutnya, sebanyak RM3.48 juta diperuntukkan bagi kerja mengecat bangunan, manakala RM2.55 juta digunakan untuk menggantikan kabel utama dan papan suis utama bagi meningkatkan keselamatan serta kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik.
“RM370,000 disediakan untuk kerja penurapan jalan, manakala RM272,000 diperuntukkan bagi pemasangan sistem pencegahan kebakaran sebagai langkah memperkukuh perlindungan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DBKL memaklumkan, PPR Taman Mulia yang dibina pada 2002 mempunyai 912 unit kediaman membabitkan dua blok bangunan setinggi 21 tingkat.
“Selepas lebih dua dekad beroperasi, beberapa komponen utama bangunan memerlukan penyelenggaraan dan penambahbaikan bagi memastikan infrastruktur kediaman terus berfungsi dengan baik serta memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Komitmen itu turut mendapat perhatian menerusi lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur ke PPR Taman Mulia hari ini bagi meninjau pelaksanaan kerja penambahbaikan serta kebun komuniti yang menjadi ruang interaksi sosial penduduk.
Dalam pada itu, DBKL memaklumkan pengurusan PPR Taman Mulia diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) pada 1 Disember 2025. Pengurusan bangunan kini dikendalikan oleh ejen yang dilantik JMB bagi menyelaras urusan pentadbiran dan penyelenggaraan kawasan kediaman secara berterusan.
DBKL turut berkata, kerjasama antara pihak pengurusan dan penduduk penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dipelihara serta dimanfaatkan untuk jangka panjang.
“Usaha menaik taraf perumahan awam itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya untuk menyediakan persekitaran kediaman yang berkualiti, selamat dan selesa demi kesejahteraan warga kota,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








