Agensi Nuklear Malaysia perkukuh pendidikan STEM, pupuk minat terhadap teknologi nuklear
KUALA KRAI – Sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuchoh Puteri, di sini, diubah suai menjadi hab pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI 2026 oleh Agensi Nuklear Malaysia.
Menurut Agensi Nuklear Malaysia, inisiatif itu bertujuan memperkukuh ekosistem pembelajaran berasaskan sains dan teknologi, khususnya dalam bidang nuklear, selain meningkatkan pembangunan murid serta guru.
Katanya, inisiatif itu turut merangkumi penyediaan tiga unit televisyen pintar bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran serta program peningkatan kemahiran digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk tenaga pengajar.
“Agensi Nuklear Malaysia turut melaksanakan program kesedaran berkaitan buli dan salah laku seksual dalam kalangan murid sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan warga sekolah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan program berkenaan turut disertai penganjuran Karnival STEM Peringkat Daerah Kuala Krai bagi menyokong pembudayaan ilmu sains, teknologi dan matematik dalam kalangan murid.
Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) untuk memperkukuh pembangunan bakat serta melahirkan generasi berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dalam sektor fokus teknologi nuklear.
Agensi Nuklear Malaysia berharap kerjasama dengan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat dapat diteruskan bagi memastikan manfaat program itu dinikmati secara berterusan.
Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI, agensi berkenaan akan terus menyokong pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan peranannya memperluas manfaat sains dan teknologi nuklear kepada rakyat menerusi slogan Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








