BERITA SEMASA

Kerajaan perkukuh persediaan hadapi jerebu, banjir, Super El Nino

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, termasuk persediaan memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari akibat jerebu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya petang tadi, susulan keadaan jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya murid sekolah.

Beliau berkata, cadangan berkenaan turut meliputi penambahbaikan berkaitan arahan penutupan sekolah dan persediaan awal Kementerian Pendidikan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas.

“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.

“NADMA, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan ini bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi bagi mengurangkan jerebu.

Menurutnya, operasi berkenaan sedang dijalankan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai.

Mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir, selain ancaman fenomena Super El Nino yang diramal menyebabkan cuaca panas dan kering melampau tahun depan.

Anwar berkata, kesiapsiagaan agensi barisan hadapan perlu terus dipertingkat bagi memastikan negara bersedia menghadapi pelbagai ancaman bencana.

Beliau turut menegaskan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu diperkasa sebagai pusat penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi, khususnya menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat.

Katanya, langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan perlu dilaksanakan dengan pantas serta berkesan.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat perlu bergerak bersama dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti.

“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button