Sri Lanka ‘bergelap’, grid elektrik negara alami gangguan
COLOMBO – Seluruh negara Sri Lanka ‘bergelap’ hari ini akibat gangguan bekalan elektrik setelah grid elektrik negara itu terputus dipercayai akibat penjanaan tenaga solar yang melebihi paras penggunaan.
Laporan AFP yang memetik kenyataan syarikat pengagihan elektrik milik kerajaan, Electricity Distribution Lanka (EDL) berkata, para jurutera sedang berusaha memperbaiki kerosakan yang menjejaskan keseluruhan grid berkenaan.
Menteri Tenaga, Anura Karunathilaka berkata, pihak berkuasa berharap dapat memulihkan bekalan “secara berperingkat”.
“Kami memohon pemilik sistem solar bumbung untuk memutuskan sambungan sistem mereka sehingga arahan lanjut dikeluarkan bagi menyokong usaha pemulihan ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Kejadian sama pernah berlaku pada Februari 2025 apabila penjanaan tenaga solar melebihi penggunaan pada hari Ahad yang terik.
Ketika itu, lebih enam jam diambil bagi memulihkan bekalan.
Sri Lanka mempunyai kapasiti terpasang tenaga solar melebihi sedikit 3,000 megawatt, manakala permintaan pada waktu siang berada dalam julat 2,000 hingga 2,500 megawatt.
Pengecualian cukai yang diperkenalkan kerajaan menggalakkan pengguna untuk beralih kepada tenaga solar dan menjual lebihan elektrik mereka kepada grid, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan yang sukar diuruskan oleh penyedia perkhidmatan utiliti berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








