JENAYAH & MAHKAMAH

Aduan gangguan elektrik bongkar kegiatan perlombongan bitcoin haram

KANGAR – Aduan penduduk mengenai gangguan elektrik yang kerap berlaku di di sekitar daerah ini dan Kuala Perlis berjaya membongkar kegiatan perlombongan Bitcoin yang menggunakan sambungan bekalan elektrik haram.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, hasil risikan Op Elektrik/ Cantas, satu operasi bersepadu dilaksanakan 31 Dis lalu yang membawa kepada penahanan seorang lelaki.

“Sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran menggunakan bekalan elektrik yang dicuri daripada sumber elektrik yang terdapat di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di Balai Polis Simpang Empat, di sini hari ini.

Kegiatan yang dikesan di tujuh premis itu menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian melebihi RM15.5 juta.

Operasi tersebut membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama Task Force IPD Kangar, Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dengan bantuan juruteknik TNB Perlis dan Pulau Pinang serta Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Kangar.

“Dalam siri serbuan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki warga China di sebuah premis di Taman Sri Hartamas, Kangar dan merampas 33 set mesin perlombongan Bitcoin bersama pelbagai peralatan sokongan termasuk komputer riba, telefon bimbit, modem dan peranti rangkaian.

“Selain itu, enam lagi premis di Kuala Perlis dan Kangar turut diserbu dengan rampasan keseluruhan membabitkan 259 set mesin perlombongan Bitcoin, 59 unit ‘blower’ komputer, lima komputer riba, 10 peranti WiFi serta pelbagai peralatan elektronik lain.

“Kesemua premis dipercayai beroperasi antara tiga bulan hingga setahun, dengan anggaran kerugian TNB berjumlah RM15,553,965.80,” katanya yang memaklumkan suspek direman selama dua hari hingga 2 Jan sebelum dibebas dengan jaminan polis.

Menurutnya, kes disiasat Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kecurian elektrik atau kegiatan mencurigakan diminta menghubungi IPK Perlis di talian 04-987 2222 atau balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button