BERITA SEMASALUAR NEGARA

Cuaca ekstrem di Sri Lanka ragut 31 nyawa

COLOMBO – Sekurang-kurangnya 31 nyawa terkorban manakala 14 lagi disahkan hilang dalam insiden tanah runtuh dan banjir yang disifatkan terburuk melanda negara ini sejak minggu lalu.

Pusat Pengurusan Bencana (DMC) negara itu melaporkan kawasan pergunungan penanaman teh di daerah Badulla dan Nuwara Eliya mencatat jumlah korban tertinggi dengan 18 kematian dilaporkan di wilayah berkenaan yang terletak kira-kira 300 kilometer ke timur ibu negara.

Menurut DMC, 14 individu masih hilang setakat semalam, susulan beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan sama.

Sejak minggu lalu, Sri Lanka dilanda cuaca ekstrem dengan hujan lebat menyebabkan kediaman, ladang dan jalan utama ditenggelami air.

Paras sungai dan takungan air turut melimpah, sekali gus memaksa beberapa laluan utama ditutup.

Perkhidmatan kereta api di kawasan pergunungan turut dihentikan selepas batu, lumpur dan pokok tumbang menghalang landasan.

Siaran televisyen tempatan menunjukkan usaha gigih pekerja membersihkan runtuhan, manakala beberapa laluan kereta api dilaporkan ditenggelami banjir.

Dalam laporan situasi terkini, 17 daerah terjejas dengan 1,158 keluarga melibatkan 4,008 individu terpaksa berdepan kesan cuaca buruk.

Seramai 10 cedera, tiga rumah musnah sepenuhnya dan 381 kediaman rosak sebahagian. Sekurang-kurangnya 131 mangsa telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Badulla mencatat angka korban tertinggi dengan 18 kematian, diikuti Kegalle (7) dan Nuwara Eliya (4), manakala masing-masing satu kematian dilaporkan di Hambantota dan Kurunegala.

Pihak berkuasa Sri Lanka memberi amaran bahawa hujan berterusan berpotensi mencetuskan lebih banyak tanah runtuh, banjir dan penutupan jalan terutama di kawasan berbukit.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peperiksaan Sri Lanka mengumumkan penangguhan peperiksaan Kemasukan Universiti yang sepatutnya dijalankan mulai Khamis hingga Sabtu, selepas sistem pengangkutan terganggu teruk dan beberapa jalan utama ditutup.

Gambar hiasa tanah runtuh di Sri Lanka.

Pasukan kecemasan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat di kawasan berisiko tinggi, manakala kerajaan menggesa orang ramai sentiasa peka terhadap amaran tanah runtuh dan peningkatan paras air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button