Mahasiswa berhak kritik pemimpin tanpa takut tindakan – Adam Adli
KUALA LUMPUR – Kritikan mahasiswa terhadap pemimpin kerajaan tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan atau dijadikan alasan untuk mengenakan tindakan, sebaliknya perlu diterima sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, kebebasan bersuara perlu dipertahankan tanpa mengira pihak yang memegang kuasa atau individu yang menjadi sasaran kritikan.
“Pandangan yang dilontarkan beliau tersebut adalah suatu fair comment. Kritikan terhadap budaya rasuah, salah guna kuasa dan sikap mempertahankan kebobrokan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang mengancam.
“Sebaliknya, ia wajar menjadi peringatan penting kepada mereka yang diberikan amanah untuk memimpin,” katanya menerusi kenyataan
susulan seorang mahasiswi tular selepas mengemukakan soalan dan pandangan dalam forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini.
Mahasiswi berkenaan mempersoalkan kutipan derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membayar denda RM50 juta, selain membangkitkan isu Tabung Haji.
Adam Adli berkata, kampus perlu terus menjadi ruang yang subur bagi pertembungan idea, perbahasan dan kebebasan menyuarakan perbezaan pandangan, selaras dengan pendirian Menteri Pendidikan Tinggi dan kerajaan.
Katanya, mahasiswa tidak seharusnya dibentuk sekadar menjadi pengikut yang akur, sebaliknya perlu menjadi warga berfikiran merdeka yang mampu menilai, mencabar dan mempersoalkan sesuatu perkara.
Beliau berkata, KPT akan terus memelihara kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpendapat dalam ruang lingkup tanggungjawab serta bidang kuasanya, selaras dengan kematangan fikiran, tradisi keilmuan dan nilai demokrasi.
“Prinsip kebebasan bersuara tidak sepatutnya berubah mengikut siapa yang sedang berkuasa, atau siapa yang sedang menerima kritikan.
“Kritikan, hatta terhadap pemimpin dalam kerajaan hari ini, tidak seharusnya diterjemahkan sebagai suatu kesalahan atau alasan untuk mengenakan tindakan terhadap mahasiswa,” katanya.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, keberanian mahasiswa untuk bersuara bukan sesuatu yang perlu ditakuti oleh pemimpin.
“Yang lebih membimbangkan ialah apabila kampus kehilangan keberanian untuk bertanya, dan pemimpin pula kehilangan kesediaan untuk mendengar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








