PAS utamakan UMNO dalam rundingan kerjasama politik
ARAU – PAS akan memberi keutamaan kepada UMNO dalam sebarang rundingan kerjasama politik, selaras dengan usaha mengukuhkan perpaduan dua parti Melayu Islam itu, berbanding parti lain termasuk Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya baru-baru ini, yang membenarkan PAS Pusat mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik dengan mengutamakan UMNO.
Beliau berkata, usaha menyatukan PAS dan UMNO bukan sesuatu yang mudah, justeru peluang untuk mengukuhkan hubungan kedua-dua parti itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.
“PAS hendak berpakat dengan sesiapa sekali pun, jangan tinggalkan UMNO. Perpaduan antara PAS dan UMNO ini perlu dipertahankan dengan keutamaan rundingan adalah bersama UMNO berbanding parti-parti lain,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Menurutnya, kerjasama kedua-dua parti itu perlu berlandaskan kepentingan agama dan bangsa, bukannya didorong kepentingan politik semata-mata.
Katanya, kerjasama yang hanya berteraskan kepentingan politik tidak akan bertahan lama dan berisiko menemui kegagalan.
“Muafakat Nasional (MN) sebelum ini adalah asas dan sekarang sudah tiba masanya perpaduan dua parti ini disuburkan. Di dalam UMNO kini juga menyaksikan kesedaran berkaitan kepentingan perpaduan semakin tinggi,” katanya.
Hashim berkata, usaha menyatukan PAS dan UMNO turut dinantikan rakyat demi kepentingan Melayu Islam.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PAS bersedia menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak dapat bertanding menggunakan lambang gabungan itu.
Katanya, penggunaan logo bukan satu masalah kerana PAS mempunyai lambang bulan yang sudah dikenali ramai, manakala UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh menggunakan lambang masing-masing meskipun bekerjasama dalam pilihan raya berkenaan.
Mengenai rundingan pembahagian kerusi dengan WAWASAN, Hashim menyerahkan perkara itu kepada PAS Pusat termasuk kemungkinan mengorbankan kerusi untuk memberi laluan kepada parti berkenaan.
Sementara itu, Selasa lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan PN mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung notis cadangan pembatalan pendaftaran dan penggantungan aktiviti gabungan itu.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan permohonan penangguhan sementara penggantungan aktiviti PN yang turut membabitkan PAS, GERAKAN, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), WAWASAN dan PEJUANG.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








