Belanjawan 2027: RM270 juta EFT perkukuh pemuliharaan alam di peringkat negeri
KUALA LUMPUR – Peruntukan RM270 juta bagi pemindahan fiskal ekologi (EFT) dalam Belanjawan MADANI 2027 dilihat mampu memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar di peringkat negeri, selain membuka peluang merancakkan ekonomi komuniti menerusi sektor ekopelancongan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, peningkatan dana itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan usaha memelihara khazanah alam negara.
“Peruntukan RM65 juta yang antaranya melibatkan kira-kira 2,500 renjer komuniti, termasuk Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis, turut memperluas penglibatan masyarakat dalam melindungi biodiversiti negara.
“Pendekatan itu bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah memberi peluang kepada komuniti setempat untuk memainkan peranan secara langsung dalam menjaga sumber semula jadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, keberkesanan usaha pemuliharaan itu turut ditunjukkan menerusi kejayaan mengembalikan Harimau Malaya, Yong Choh, ke habitat semula jadinya di Tasik Kenyir selepas menjalani proses pemulihan.
Menurutnya, pembinaan jambatan kanopi oleh Langur Project Penang bagi membantu hidupan liar melintasi jalan dengan lebih selamat turut membuktikan kepentingan pelaksanaan inisiatif pemuliharaan secara praktikal.
“Usaha ini menunjukkan pemuliharaan alam bukan sekadar bergantung pada dasar dan peruntukan kerajaan, sebaliknya memerlukan tindakan di lapangan serta penyertaan masyarakat bagi melindungi hidupan liar dan biodiversiti negara.
“Agenda kelestarian ini juga berpotensi mewujudkan sumber nilai ekonomi baharu serta meningkatkan daya tahan kewangan negara menerusi pengurusan sumber asli yang lebih mampan,” tambahnya.
Antara agenda strategik yang diberi perhatian ialah pengukuhan kerangka perundangan menerusi Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN), pembangunan pasaran karbon berintegriti serta pengurusan unsur nadir bumi (REE) secara mampan.
Hal ini kerana, pendekatan tersebut penting bagi memastikan sumber asli negara dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi tanpa menjejaskan kelestarian alam untuk generasi akan datang.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut berpegang pada prinsip Amanah, Mizan dan Maslahah dalam mengurus khazanah negara, mengimbangi pembangunan dengan pemeliharaan alam serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
“Setinggi mana pun negara menggapai kejayaan, kekuatannya mesti terus mengakar pada khazanah alam yang kita pelihara bersama,” ujarnya.
Belanjawan bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi itu, menurut beliau, menyediakan asas untuk memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar sambil membina daya tahan ekonomi negara melalui pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






