Kerajaan Sarawak perkukuh ekosistem bandar pintar bersepadu di Greater Kuching
KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak bersama Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh ekosistem bandar pintar bersepadu di Greater Kuching menerusi pelaksanaan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity.
Menurut MCMC, inisiatif itu diperkasakan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), hari ini.
Katanya, majlis pertukaran dokumen MoU disempurnakan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh, disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Kerjasama strategik itu bertujuan memperluas kesalinghubungan digital dan menyokong transformasi perkhidmatan bandar melalui penggunaan teknologi digital, data serta kecerdasan buatan (AI).
“Inisiatif berkenaan turut menyasarkan peningkatan kecekapan pengurusan bandar, pengukuhan keselamatan awam, peluasan akses digital dan pembukaan peluang ekonomi baharu kepada rakyat serta sektor perniagaan, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pelaksanaan awal projek itu akan memberi tumpuan kepada kawasan Greater Kuching yang merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
“Ia juga selaras dengan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 dalam usaha mempertingkat penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya.
Katanya, antara skop kerjasama yang dikenal pasti termasuk pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan AI dan data, platform bandar bersepadu serta pengukuhan infrastruktur rangkaian teras bagi menyokong perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan selamat.
Tambahnya, Skop berkenaan turut merangkumi pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan Wi-Fi awam, penggunaan teknologi kembar digital (digital twin) serta pembangunan Pusat Operasi Rangkaian (Network Operations Centre – NOC).
Katanya, pelaksanaan projek itu juga akan mengambil kira aspek keterangkuman, keselamatan siber, perlindungan data dan tadbir urus yang bertanggungjawab.
Secara keseluruhan katanya, inisiatif berkenaan dijangka meningkatkan kualiti hidup penduduk Greater Kuching menerusi pengurusan trafik dan kemudahan awam yang lebih cekap, selain mempercepat tindak balas terhadap insiden serta kecemasan.
MCMC pada masa sama menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Sarawak, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif digital ke arah pembangunan bandar yang lebih pintar, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








