KEMENTERIAN PERTAHANAN

ATM bakal terima aset baharu diluluskan bawah RP1 – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Peruntukan RM5.34 bilion bagi pemerolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan dalam Belanjawan 2027 merangkumi usaha memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk perolehan aset baharu yang sudah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beberapa perolehan aset baharu itu kini berada pada peringkat akhir penilaian dan penyediaan spesifikasi sebelum dimuktamadkan.

“Aset ini telah diluluskan di bawah RP1, namun pembeliannya perlu melepasi pelbagai fasa teknikal seperti penetapan spesifikasi dan penilaian terperinci.

“Pengumuman rasmi mengenai senarai aset baharu yang dibeli akan dibuat sebaik sahaja seluruh proses perolehan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pemeteraian Nota Kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM)-Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran Inisiatif MyBakat Veteran, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Setiausaha KSM, Datuk Azman Mohd Yusof; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Biruntha Mooruthi.

Dalam Belanjawan 2027, MINDEF menerima peruntukan RM22.11 bilion, meningkat RM361.95 juta atau 1.66 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM14.52 bilion disediakan bagi Perbelanjaan Mengurus (OE), manakala RM7.58 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, penyelenggaraan aset sedia ada dan pemerolehan aset baharu dikategorikan di bawah perbelanjaan berbeza.

“Penyelenggaraan ditampung menerusi OE, manakala perolehan aset baharu pula disalurkan menerusi DE.

“Ketiadaan pengumuman terperinci mengenai aset baharu buat masa ini tidak bermakna MINDEF membelakangkan perolehan baharu. Segala perincian akan diumumkan secara rasmi selepas kelulusan muktamad dicapai,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button