BERITA SEMASA

SPRM, BMR gabung kepakaran perkasa operasi banteras rasuah

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Negara Brunei Darussalam komited memperkukuh kerjasama dalam bidang operasi siasatan dan perisikan bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras jenayah rasuah rentas sempadan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hubungan kerjasama yang erat antara SPRM dan BMR amat penting, khususnya dalam aspek perkongsian maklumat, bantuan siasatan dan penyelarasan operasi.

“Hubungan kerjasama antara SPRM dan BMR yang telah terjalin diharap dapat terus diperkukuh melalui pertukaran maklumat yang lebih berkesan, komunikasi yang baik serta penyelarasan tindakan yang lebih cekap,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Working Group Kali Ke-19 Bantuan Kerjasama SPRM dan BMR Negara Brunei Darussalam Dalam Bidang Operasi Siasatan Dan Perisikan Serta Taklimat Operasi Bersama di Hotel Moxy Putrajaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Penyiasat Khas, Ketua Bahagian Perkhidmatan Siasatan Khusus (SPIN) BMR, Ahmad Fadhli DP Junaidi; Pengarah-Pengarah Kanan, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

Sementara itu, mesyuarat yang dikendalikan oleh Bahagian Siasatan SPRM itu menjadi platform penting untuk menyelaraskan permohonan bantuan rentas sempadan, berkongsi maklumat serta bertukar pengalaman dalam menangani jenayah berkenaan.

Dalam mesyuarat tersebut, SPRM berkongsi pengalaman berkaitan pemulihan aset dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta penggunaan poligraf dalam operasi siasatan.

Sementara itu, BMR membentangkan cadangan rangka kerja kerjasama rentas sempadan bagi menangani kes suspek yang melarikan diri di sempadan Malaysia-Brunei, selain perkongsian berkaitan permohonan bantuan kerjasama siasatan.

Ahmad Khusairi berkata, segala perkara yang dibincangkan perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kedua-dua pihak, termasuk usaha meneruskan kerjasama dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti.

Sementara itu, Penolong Pengarah BMR, Rahimah Hassan berharap, perkongsian berkenaan dapat membantu memperkukuh saluran komunikasi serta mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan antara kedua-dua agensi pada masa hadapan, termasuk di Brunei Darussalam.

Menurutnya, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui pertukaran pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam menghadapi cabaran penguatkuasaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button