Malaysia berjaya yakinkan Myanmar terima pulang pelarian
PUTRAJAYA – Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan Myanmar untuk menerima semula pelarian negara itu, sekali gus mencerminkan pencapaian diplomatik yang membanggakan.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu turut membolehkan proses penghantaran pulang pelarian dilaksanakan dengan kos ditanggung kerajaan Myanmar sendiri.
Menurut Menteri Komunikasi itu, pencapaian berkenaan dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai kejayaan diplomatik luar biasa.
“Ini satu pencapaian luar biasa kerana seperti yang Perdana Menteri maklumkan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelariannya.
“Semua dipulangkan pada kos ditanggung oleh pihak Myanmar itu sendiri. Jadi ini satu pencapaian diplomatik yang cukup membanggakan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2026 anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.
Fahmi berkata, lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu turut membuka ruang perbincangan bagi memastikan lebih ramai pelarian negara itu dapat dihantar pulang.
“InsyaAllah dalam masa terdekat, lebih 3,000 pelarian Myanmar pelbagai etnik akan mula dihantar pulang,” katanya lagi.
Sebelum itu, Malaysia melaksanakan penghantaran pulang fasa pertama membabitkan 1,476 tahanan warga Myanmar menggunakan tiga kapal, termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Anwar turut dilaporkan berkata, Myanmar bersedia memudahkan proses penghantaran pulang rakyatnya secara besar-besaran serta menanggung kos berkaitan.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, antara pencapaian diplomatik Malaysia yang lain termasuk kehadiran Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Raja Jordan, Raja Abdullah II ke negara ini, selain pelaksanaan misi Global Sumud bagi membantu rakyat Palestin.
Beliau berharap perkembangan berkenaan dapat diberikan perhatian oleh Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha diplomatik negara.
“Jadi InsyaAllah, beberapa langkah diplomatik ini akan dapat mengukuhkan bukan hanya kedudukan Malaysia di mata dunia, tetapi juga membantu kumpulan-kumpulan seperti rakyat Palestin,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








