BERITA SEMASA

iFUTURE medan bentuk pemimpin muda berfikiran global – Dr Zambry

KUALA LUMPUR – Malaysia mahu melahirkan generasi pemimpin muda yang mampu berfikir melangkaui sempadan negara, memahami perbezaan budaya dan bekerjasama merentasi latar belakang bagi menangani cabaran dunia yang semakin kompleks.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembentukan pemikiran global itu penting bagi memastikan golongan mahasiswa tidak terperangkap dalam lingkungan pemikiran sendiri, sebaliknya mampu memahami isu antarabangsa serta melihat sesuatu perkara daripada perspektif berbeza.

Beliau berkata, Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 menjadi platform penting untuk membina keupayaan itu melalui pertemuan, perbincangan dan pertukaran idea antara mahasiswa dari pelbagai negara.

“Saudara tidak boleh terus hidup dalam kepompong sendiri. Kita perlu berfikir melangkaui sempadan dan bertindak dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup iFUTURE 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Menurutnya, program edisi ketiga itu menghimpunkan mahasiswa dari 60 negara, dengan 35 peratus peserta terdiri daripada pelajar antarabangsa manakala selebihnya pelajar Malaysia.

Katanya, pertemuan itu memberi peluang kepada mahasiswa tempatan untuk memahami masyarakat global, selain membina rangkaian hubungan yang boleh dimanfaatkan selepas menamatkan pengajian.

Dr Zambry berkata, antara ciri penting yang perlu dipupuk dalam kalangan pemimpin muda ialah kecerdasan budaya, keterbukaan intelektual dan keupayaan menjalinkan kerjasama merentasi perbezaan.

“Kecerdasan budaya bermaksud memahami orang lain. Kita perlu mengubah cara berfikir dan melihat dunia, serta menyedari bahawa individu daripada negara dan budaya berbeza mempunyai keupayaan serta pengalaman tersendiri untuk dikongsi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak memandang rendah terhadap individu berdasarkan negara asal atau latar belakang mereka, sebaliknya mengambil peluang untuk belajar antara satu sama lain.

Menurutnya, keterbukaan intelektual membolehkan mahasiswa memahami pengalaman masyarakat lain, termasuk cabaran yang dihadapi di pelbagai rantau dunia, sekali gus membina kebijaksanaan dalam menilai sesuatu isu.

Beliau berkata, pendedahan terhadap perkembangan geopolitik antarabangsa juga penting supaya generasi muda dapat memahami hubungan antara negara dan perubahan yang sedang berlaku di peringkat global.

Dalam pada itu, Zambry menekankan kepentingan diplomasi kolaboratif, khususnya hubungan antara rakyat atau Track 2 diplomacy yang menurutnya berperanan melengkapkan diplomasi rasmi antara kerajaan.

Katanya, hubungan antara individu dan masyarakat mampu membina persefahaman serta membantu meredakan ketegangan apabila berlaku krisis antara negara.

Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai lokasi strategik untuk pelajar antarabangsa memahami kepelbagaian tamadun kerana masyarakatnya merangkumi pelbagai tradisi dan budaya, termasuk Islam, Cina, India dan Barat.

Menurutnya, Malaysia kini mempunyai kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa daripada 180 negara, sekali gus menyediakan ruang untuk pertukaran budaya dan pembentukan perspektif global.

Zambry berharap iFUTURE diteruskan pada tahun hadapan sebagai platform pembangunan kepimpinan yang membolehkan lebih ramai mahasiswa tempatan dan antarabangsa membina jaringan, berkongsi pengalaman serta mempersiapkan diri untuk memimpin masyarakat masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button