Raja Abdullah II hargai peranan Malaysia perjuang nasib Palestin
KUALA LUMPUR – Raja Jordan, Raja Abdullah II, menyatakan penghargaan terhadap pendirian dan peranan Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disentuh ketika beliau menghadap Raja Abdullah II sempena Lawatan Negara selama dua hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut sependapat mengenai keperluan mendesak untuk menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin, termasuk keganasan dan pencabulan hak yang berterusan di Baitulmaqdis serta Tebing Barat.
“Saya menegaskan bahawa Malaysia akan terus konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin, di samping memperkukuh penyaluran bantuan kemanusiaan, khususnya kepada penduduk Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Baca juga : Hubungan akrab Malaysia-Jordan berpotensi diperkukuh melalui pelbagai kerjasama – Sultan Ibrahim
Anwar berkata, beliau turut bertukar pandangan mengenai perkembangan di Syria serta implikasinya terhadap keselamatan dan kestabilan rantau Asia Barat.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, kedua-dua negara turut memperhalusi usaha memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Jordan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, teknologi baharu serta pembinaan ekosistem semikonduktor.
Beliau berkata, perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama membangunkan pusat pendidikan dan latihan teknikal berteknologi maju, termasuk melahirkan lebih ramai jurutera serta tenaga mahir bagi memenuhi tuntutan industri masa hadapan.
“Turut disentuh ialah usaha memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan, termasuk potensi perjanjian perdagangan bebas (FTA), penstrukturan semula tarif, pengukuhan rantaian bekalan serta kerjasama dalam sektor tenaga, pengangkutan, industri halal, dan pelancongan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berharap pertemuan itu menjadi wahana untuk mengangkat hubungan Malaysia-Jordan ke tahap lebih bermakna, bukan sahaja menerusi kerjasama ekonomi dan teknologi, tetapi juga berlandaskan kemanusiaan, keamanan dan keadilan sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








