Ibu, dua anak maut MPV rempuh belakang lori 20 tan
KUALA SELANGOR – Seorang ibu dan dua anaknya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori 20 tan di Jalan Raja Muda Musa, di sini hari ini.
Ketiga-tiga mangsa berusia antara lapan hingga 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi anak wanita berkenaan, lelaki berusia 10 tahun, turut terbabit dalam kemalangan itu dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.37 tengah hari.
Menurutnya, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Maklumat awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah MPV jenis Proton Exora dengan sebuah lori.
“Seorang kanak-kanak lelaki berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba dan mengalami kecederaan parah di kepala.
“Manakala tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita, kanak-kanak lelaki dan remaja perempuan yang tersepit berjaya dibawa keluar, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Ashrul Riezal berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga mangsa yang maut mempunyai hubungan sebagai ibu dan anak.
Katanya, kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Sementara itu, kejadian berkenaan merupakan satu lagi kemalangan maut membabitkan lori yang dilaporkan berlaku hari ini.
Terdahulu, tiga beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Pontian pagi tadi.
Dalam kejadian itu, motosikal ditunggang Nor Daniel Aiman Norlizan, 18, manakala dua adiknya, Nor Daniel Fikri, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, masing-masing dibonceng.
Ketiga-tiga beradik berkenaan mengalami kecederaan parah dalam kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








