AMANAH gesa DUN Negeri Sembilan dibubar
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada penyelesaian politik melalui pilihan raya susulan kemelut yang melanda pentadbiran negeri ketika ini.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, perkembangan politik di Negeri Sembilan kini berada pada tahap serius, khususnya susulan isu yang membabitkan hubungan antara kerajaan negeri dan institusi diraja.
Menurutnya, AMANAH tidak mahu mencampuri urusan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana perkara itu perlu diselesaikan mengikut undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa pergolakan yang berlaku mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang diadakan secara mengejut sebelum ini.
“AMANAH berpandangan pertembungan antara pihak eksekutif dan istana adalah bercanggah dengan roh serta prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Justeru, Menteri Besar perlu memohon pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan penyelesaian politik menerusi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Faiz berkata, keadaan menjadi lebih meruncing apabila berlaku pertikaian terbuka membabitkan pentadbiran negeri dan institusi diraja.
Beliau turut mendakwa tindakan pihak tertentu berhubung isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menunjukkan kegagalan menghormati institusi diraja Melayu.
Sebelum itu, Istana Negeri Sembilan memaklumkan pelantikan 10 Exco kerajaan negeri dibatalkan berkuat kuasa serta-merta selepas didapati melanggar sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka.
Menteri Besar turut diarahkan mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Muhammad Faiz, kemelut politik yang berpanjangan berisiko menjejaskan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri sekiranya tidak ditangani secara berhemah.
Sementara itu, Ismail sebelum ini menegaskan bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu ditentukan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta prinsip Raja Berperlembagaan, bukannya pertimbangan politik atau peribadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








