BERITA SEMASAPOLITIK

EXCO Negeri Sembilan masih sah, akan terus jalankan tugas – MB

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa susulan isu tafsiran kuasa berhubung tempoh perjawatan EXCO.

Beliau berkata, sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Katanya, perkara itu perlu diteliti secara harmoni dan menyeluruh berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berkaitan kedudukan serta tempoh perjawatan EXCO.

“Secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat YAB Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan.

Baca juga : Tuanku Muhriz batalkan pelantikan EXCO negeri berkuat kuasa serta merta

Lewat malam tadi, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan EXCO berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua EXCO terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Ismail berkata, Perkara 40(1) UUTKNS 1959 memperuntukkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.

Menurutnya, kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran pula hanya merangkumi perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.

“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini,” katanya.

Beliau berkata, kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).

“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.

“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baru kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

“Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button