Bekas ADUN Bongawan, Karim Bujang meninggal dunia
KOTA KINABALU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang, 73, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, tengah hari tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan bekas ADUN Pantai Manis yang juga bekas Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar.
Menerusi mesej WhatsApp, Aidi memaklumkan Karim menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Sipanggil.
“Dengan penuh dukacita dimaklumkan Datuk Karim Bujang telah kembali ke rahmatullah di rumah beliau di Kampung Sipanggil, Putatan.
“Mari kita berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan orang-orang yang beriman,” katanya memetik laporan BH Online.
Allahyarham Karim merupakan antara tokoh politik Sabah yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal, dari 1990 hingga 2013.
Sepanjang tempoh berkenaan, beliau turut diberi tanggungjawab sebagai Pembantu Menteri dalam Kabinet Sabah termasuk memegang portfolio berkaitan kewangan serta pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.
Selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat, Karim meneruskan penglibatan dalam politik menerusi Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Beliau bertanding di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Allahyarham kemudiannya sekali lagi dipilih sebagai calon WARISAN bagi kerusi sama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 2020.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














