Akta Tahanan Rumah dicadang khusus untuk tahanan reman, tangani isu kesesakan penjara
KUALA LUMPUR – Cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah bertujuan menangani isu kesesakan penjara, khususnya melibatkan tahanan reman yang majoritinya memenuhi penjara kerana masih menunggu proses perbicaraan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, cadangan tersebut bukan perkara baharu dan beliau telah membawa cadangan itu sebagai antara ikhtiar Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2024 untuk mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan pengurusan sistem koreksional negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Konsep yang kita bincangkan sejak awal adalah jelas, iaitu bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan mereka di rumah dengan pemantauan menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.
“Kes-kes jenayah berat pula memang telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme ini.
“Kita belum ada akta ataupun undang-undang mengenai tahanan rumah. Tempoh hari, saya berura-ura untuk membuatnya khusus untuk tahanan reman, tahanan reman yang menjadi punca kesesakan penjara,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, penghuni penjara terdiri daripada mereka yang telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman, selain tahanan reman yang masih belum selesai proses pengadilan.
Beliau menjelaskan, tahanan reman merujuk kepada individu yang telah dituduh, tetapi sama ada tidak dibenarkan ikat jamin atau gagal menyediakan ikat jamin, sekali gus ditempatkan di penjara sementara menunggu perbicaraan.
“Jadi, kombinasi dua ini, sabitan dan reman, menyumbang kepada kesesakan penjara kita. Misalnya, kita sekarang ini ada 41 penjara, tetapi penghuni penjara sekarang dalam 93,000. Kapasiti penjara kita 75,000 orang,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya rang undang-undang berkenaan diluluskan, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan tahanan reman yang memenuhi syarat di rumah dengan pergerakan mereka dipantau menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.
Saifuddin Nasution turut berkata, Kabinet juga telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses menggubal dan membentangkan Akta Tahanan Rumah di Parlimen.
“Matlamat asalnya kekal, iaitu mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan. Itulah konteks dan maksud asal Akta Tahanan Rumah yang telah kita bincangkan sejak awal.
“Jika rang undang-undang itu diluluskan, kita boleh keluarkan tahanan reman ini di rumah dan kita pakaikan segala peranti moden untuk mengawasi pergerakan mereka sehingga tarikh perbicaraan. Itu maksud asal yang kita bincangkan,” katanya. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







