BERITA SEMASA

Pengampunan bersyarat Najib timbul persoalan moral dan etika – Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menimbulkan persoalan dari sudut moral dan etika dalam kehidupan bernegara.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, keputusan berkenaan adalah sah serta tidak boleh dicabar di mahkamah sivil.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesahan dari sudut undang-undang dan Perlembagaan tidak semestinya bermaksud sesuatu keputusan itu tidak boleh dipersoalkan dari perspektif moral dan etika kehidupan bernegara.

“Jika Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa budi bicara dan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memberi ampun dan lega hukum kepada mantan Perdana Menteri yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana perbuatan rasuah yang berskala mega dan global, maka keputusan Yang di-Pertuan Agong itu akan menimbulkan satu masalah besar dari segi moral dan etika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hassan, keputusan itu juga menimbulkan persoalan mengenai semangat kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan serta prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

Beliau berkata, rakyat turut boleh mempersoalkan implikasi keputusan berkenaan terhadap persepsi terhadap keadilan dan integriti negara.

Hassan mendakwa, sekiranya individu berprofil tinggi dan golongan berkuasa boleh mendapat pelepasan daripada hukuman penjara untuk menjalani tahanan di rumah dengan syarat tertentu termasuk pembayaran denda RM50 juta, keadaan itu boleh menimbulkan persoalan sama ada kedaulatan undang-undang boleh dipengaruhi oleh kemampuan kewangan.

“Di sinilah persoalan moral dan etika muncul,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button