JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja Indonesia jadi penjaga stor dadah RM1.29 juta diberkas

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 18 tahun ditahan selepas disyaki menjadi penjaga stor penyimpanan dadah bernilai RM1.29 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Lian Seng, Kluang, pada 13 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 3 petang dan suspek ditahan di rumah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan lapan peket plastik mengandungi syabu seberat 8.11 kilogram (kg) serta 38 peket plastik berisi heroin seberat 17.84 kg.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 25.95 kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.29 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki negara ini secara sah pada 2025 menggunakan pas lawatan sosial selama dua bulan sebelum tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Lelaki berkenaan berperanan sebagai penjaga stor kepada sindiket. Polis percaya sindiket didalangi beberapa individu lain dan usaha mengenal pasti ahli sindiket sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing turut mendapati lelaki itu negatif daripada sebarang jenis dadah.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman berat mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button