JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja didakwa pandu melulu hingga sebabkan kemalangan maut

KLUANG – Seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga, Jun lalu.

Tertuduh, Goh Yin Zun, 19, yang menuntut di sebuah universiti di Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta Mercedes-Benz dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya lain di Kilometer 27, Jalan Renggam ke Simpang Renggam, pukul 1.19 tengah hari, 1 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azam, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

Terdahulu, Nik Noratini menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 namun pihak pembelaan merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh yang juga pesalah juvana.

Peguam, Mohd Daud turut memberitahu mahkamah, tertuduh sedang mengikuti diploma pengajian perniagaan di Singapura.

Selain itu, Mohd Daud menjelaskan tertuduh memberi kerjasama baik sejak ditahan reman sehingga dibebaskan dengan jaminan polis pada Jun lalu.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kes disebut semula pada 20 November ini untuk serahan dokumen.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga Aiman Mohd Rashid, 36, isterinya, Nor Azlina Abd Latip, 33, ibu mentua Aiman, Semek Mat Soh, 73, dan anak saudaranya, Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam di hadapan penjara Simpang Renggam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button