BERITA SEMASA

Kerajaan perluas perlindungan bil elektrik kepada penggunaan sehingga 800 kWj

PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI memutuskan untuk memperluaskan tahap perlindungan subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026 sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, menerusi langkah berkenaan, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan mendapat perlindungan membabitkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam membolehkan langkah itu dilaksanakan dengan segera.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat dan beban kehidupan.

Pada masa sama, katanya, aspek keterjaminan bekalan elektrik serta kemampanan sektor tenaga negara turut akan terus diberi perhatian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button