POLITIK

UMNO Selangor akan putuskan tindakan terhadap perwakilan PAU cetus kontroversi

PUTRAJAYA – Sebarang tindakan terhadap seorang perwakilan UMNO Selangor berhubung gurauan kontroversi membabitkan paderi dan biarawati pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, hujung minggu lalu akan diputuskan Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau tidak percaya perwakilan berkenaan berniat untuk menghina atau menyinggung mana-mana pihak, meskipun mengakui analogi yang membabitkan tokoh agama berkenaan mungkin tidak sesuai.

“Saya fikir beliau mungkin terlepas pandang. Daripada cara beliau bercakap, saya tidak nampak sebarang niat jahat atau niat untuk menghina. Beliau hanya membuat analogi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kayuhan Fashionista: Bulan Kebangsaan Dua Sambutan Satu Jiwa di Persiaran Tasik Putrajaya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, perkara itu wajar diserahkan kepada kepimpinan UMNO Selangor memandangkan perwakilan berkenaan mewakili negeri tersebut.

“Bagi saya, saya tidak nampak sebarang niat jahat. Dari segi undang-undang, ia bukan mala fide. Beliau hanya menggunakannya sebagai analogi. Mungkin analogi itu tidak tepat dari segi watak yang digunakan,” katanya lagi.

Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Sepang, Datuk Noorazli Said, yang didakwa berjenaka mengenai seorang paderi yang memandu Proton Saga manual dan menumpangkan seorang biarawati, ketika membahaskan ucapan dasar Presiden, Sabtu lepas.

Dalam ucapannya itu, Noorazli turut didakwa menggunakan frasa yang dikaitkannya dengan Mazmur 129 dalam Bible, walaupun petikan berkenaan tidak mengandungi perkataan yang disebutnya.

Azalina seterusnya berkata, pemimpin politik perlu berhati-hati ketika menggunakan isu atau tokoh agama sebagai analogi dalam ucapan.

“Kami juga agak terkejut kerana saya fikir ketika berbahas, walaupun niatnya untuk membuat lawak atau menghiburkan perwakilan, jika kita menggunakan isu agama, ada risiko ia disalah tafsir.

“Ia mungkin tidak memberi kesan kepada kita, tetapi boleh memberi kesan kepada penganut agama berkenaan,” katanya.

Beliau berkata prinsip sama turut terpakai sekiranya parti politik lain menggunakan tokoh agama seperti ustaz atau imam sebagai analogi dalam perhimpunan mereka.

“Jadi, saya fikir agama adalah isu sensitif. Sebagai pemimpin, kita perlu berhati-hati,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button