“Terima kasih sediakan rumah yang selesa” – Warga MSS Taiping Tentera Darat
TAIPING – “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Pertahanan kerana telah menyediakan rumah yang selesa kepada anggota tentera”, demikian kata Staf Sarjan Mohd Tarmizi Awang@Ab Rashid selepas dipilih untuk mendiami rumah baharu di Kem Markas Stesen Staf (MSS) Taiping di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohd Tarmizi yang kini telah berkhidmat selama 17 tahun, pemberian unit rumah baharu menerusi inisiatif Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) itu sedikit sebanyak telah memberikan keselesaan buat beliau dan keluarganya.
“Kuarters baharu memang luas dan selesa. Bilik tidur anak semua selesa. Dapur, kabinet dan perabot juga turut disediakan.
“Jika dibandingkan dengan rumah lama, hanya ada satu bilik besar dan satu bilik kecil, tapi sekarang dua unit rumah telah digabungkan menjadi satu dan mempunyai tiga bilik yang cukup luas dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu tinjauan di MSS Taiping baru-baru ini.Mengulas lanjut, Mohd Tarmizi yang juga merupakan bapa kepada tiga cahaya mata berkata, kini, beliau tidak perlu bimbang apabila keluar bekerja susulan keselamatan anggota keluarganya yang lebih terjamin.
“Apabila saya keluar bekerja saya tidak perlu risau dan apabila saya bertugas di luar meninggalkan anak dan isteri, saya tidak fikir lagi hujan, ribut atau saluran air tersumbat kerana semua kemudahan sudah ada dan lengkap,” katanya lagi.
Selain itu, Tarmizi berkata, kediaman yang diduduki ketika ini cukup sesuai bagi mereka yang mempunyai ramai ahli keluarga, di samping memberikan keselesaan kepada tetamu yang ingin melawat.
“Apabila ada ahli keluarga yang ingin datang melawat terutama apabila mak dan ayah datang lebih senang dan selesa berbanding rumah lama. Macam dulu (rumah terdahulu) adik beradik datang sempit sebab tiada ruang yang cukup,” jelasnya.
Turut berkongsi kegembiraan, Muhammad Badrul Amin Ahmad yang juga baru dikurniakan seorang anak, merasakan inisiatif yang diambil pihak Kerajaan dan MINDEF adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan tentera sentiasa terjaga.
Ditanya mengenai perbezaan yang paling ketara jika dibanding rumah dahulu dan selepas diselenggara, Badrul yang telah berkhidmat selamat enam tahun berkata, fizikal rumah itu sendiri sebelum dibaiki, serba-serbi kurang.
“Perbezaan yang paling ketara adalah sebelum ini rumah banyak bocor, tandas tersumbat tapi sekarang semuanya sudah dibaiki dengan baik. Tandas tidak tersumbat, malah perabot turut disediakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Mejar Fazrin Wahab merangkap Pegawai Logistik/Pentadbir RKAT MSS Taiping, terdapat 157 daripada 844 buah rumah angkatan tentera yang berstatus rosak di MSS Taiping.
Kata beliau, pada tahun 2023 pasukan tersebut menerima peruntukan yang amat memberangsangkan iaitu berjumlah RM9.7 juta yang disalurkan secara berperingkat bagi kerja-kerja penyelenggaraan rumah yang sudah melebihi usia 30 tahun di kawasan itu.
Jelasnya, setelah peruntukan diterima, keluasan rumah telah ditambah iaitu dengan cara menggabungkan dua rumah menjadi satu, sekali gus menjadikannya kepada tiga buah bilik, dua bilik air serta turut dilengkapi dengan perabot.
“Peruntukan diterima pada bulan Julai dan kerja selenggara mula dilaksanakan pada bulan Ogos. Ketika kerja-kerja selanggara sudah mencapai 70 peratus dan dijangka siap pada hujung bulan ini (November) serta tempoh masa selenggara adalah selama lima bulan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mejar Fazrin berkata, kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan empat blok rumah flat dan satu blok rumah teres yang merangkumi 97 rumah flat dan 3 rumah teres itu sedang giatkan dijalankan oleh tiga agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP).
Kata beliau, kos sewa rumah di sekitar Taiping yang dilihat agak mahal dan tidak berpatutan telah memberi kesan terhadap kewangan anggota di sini.
Justeru katanya, dengan adanya RKAT ini, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban 108 keluarga anggota tentera dalam menampung perbelanjaan isi rumah setiap bulan.
“Anggota tentera di Taiping amat memerlukan kuarters kerana sewa yang agak tinggi di sini iaitu melebihi RM600. Jadi bagi anggota untuk bayar sewa dengan jumlah tersebut adalah sangat tidak memadai.
“Oleh sebab itu, dengan adanya rumah yang amat selesa mereka boleh kurangkan beban kewangan mereka,” ujarnya lagi.
Tambah Fazrin, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat prihatin dengan kebajikan anggota tentera darat.
“Kami akan memberikan khidmat yang lebih jitu kepada ATM serta akan meningkatkan mutu kerja kami ke tahap terbaik,” katanya.
Sementara itu, Fazrin turut berharap agar peruntukan bagi MSS Taiping akan diteruskan pada tahun hadapan kerana menurutnya, masih ramai lagi warga tentera memerlukan RKAT susulan ada lagi rumah yang belum diselenggara.
“Saya yakin pada tahun akan datang kebajikan warga tentera Taiping akan diteruskan di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegasnya.
Sebagai rekod, menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM420 juta disediakan untuk terus memelihara kesejahteraan anggota beruniform dan pesara.