Pengampunan Najib dipertimbang ikut undang-undang, bukan prasangka – Anwar
KERALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pertimbangan terhadap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat berdasarkan undang-undang, Perlembagaan dan prinsip tatakelola negara, bukan atas dasar prasangka atau kebencian.
Beliau berkata, peranannya dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan juga tertakluk kepada undang-undang serta panduan rasmi Peguam Negara.
“Namun, kita tahu juga ini budi bicara wewenang Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya Yang di-Pertuan Agong harus mengambil kira semua faktor,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia di Calicut, hari ini, sebelum mengakhiri lawatan kerja lima hari ke India.
Menurut beliau, isu pengampunan Najib tidak wajar dilihat secara peribadi, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan prinsip undang-undang dan tatakelola negara.
“Bagi saya, dalam soal menjalankan tugas ini, kita harus tunduk pada prinsip negara hukum dan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan.
“Jadi, saya hanya beri pandangan begitu… saya tidak pernah mengambil sikap yang prasangka ataupun kebencian… tidak,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pertimbangan politik serta pandangan tegas pimpinan UMNO turut diambil kira dalam perkara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan prinsip yang diyakininya betul.
“Saya tahu kalau jalan mudah apa dia, jalan susah apa dia tetapi saya ambil jalan yang saya anggap betul, ikut lunas hukum dan juga apa yang kita anggap penting dari segi semangat tatakelola dan hukum dalam negara,” katanya.
Jumaat lalu, Sultan Ibrahim memberi perkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Perkara itu dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara pada 11 September.
Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








