Luar Negara

Hamas umum gencatan senjata empat hari

GAZA CITY – Pejuang Hamas mengumumkan persetujuan gencatan senjata telah dicapai dengan tentera zionis bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat memasuki utara Tebing Gaza.

Pergerakan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, gencatan senjata itu akan berlangsung selama empat hari.

“Selepas rundingan yang sukar dan rumit selama beberapa hari, kami mengumumkan, dengan pertolongan dan kejayaan Allah, kami telah mencapai perjanjian gencatan senjata kemanusiaan (gencatan senjata sementara) untuk tempoh empat hari, dengan usaha gigih Qatar dan Mesir,” kata pergerakan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Perjanjian itu meletakkan syarat supaya tentera zionis menghentikan semua tindakan ketenteraan di kawasan Tebing Gaza, dan menghentikan pergerakan kenderaan tenteranya memasuki wilayah Gaza.

Gencatan senjata yang dimediasi oleh Qatar dan Mesir itu turut meletakkan syarat pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak.

Pertukaran tahanan itu akan meyaksikan pejuang Hamas membebaskan 50 tahanan wanita dan kanak-kanak manakala rejim zionis akan melepaskan 150 tahanan wanita dan kanak-kanak Palestin dari penjaranya.

“Syarat-syarat perjanjian ini dirumus selaras dengan kehendak pejuang yang bertahan, yang berkhidmat kepada rakyat dan menguatkan keteguhan mereka dalam menghadapi pencerobohan.

“Pada masa yang sama, pejuang kami sentiasa bersiap siaga untuk terus mempertahankan rakyat kami dan mengalahkan tentera pendudukan yang menceroboh,” kata Hamas lagi.

SYARAT PENUH GENCATAN SENJATA HAMAS-ISRAEL

1) Tentera pendudukan (tentera zionis) menghentikan semua tindakan ketenteraan di kawasan Tebing Gaza, dan menghentikan pergerakan kenderaan tenteranya memasuki wilayah Gaza,

2) Kemasukan ratusan trak bantuan kemanusiaan seperti bahan makanan, perubatan dan minyak ke semua kawasan Tebing Gaza di utara dan selatan, tanpa pengecualian,

3) Pembebasan 50 wanita dan kanak-kanak Israel semuanya di bawah umur 19 tahun sebagai pertukaran untuk pembebasan 150 wanita dan kanak-kanak rakyat Palestin dari penjara Israel di bawah umur 19 tahun mengikut urutan masa dipenjarakan,

4) Menghentikan semua lalu lintas udara tentera Israel di selatan selama empat hari,

5) Menghentikan semua lalu lintas udara tentera pendudukan di utara selama enam jam sehari dari 10 pagi hingga 4 petang,

6) Semasa tempoh gencatan senjata, tentera Israel tidak boleh menyerang atau menangkap sesiapa di semua kawasan di Tebing Gaza,

7) Memastikan kebebasan pergerakan orang ramai dari utara ke selatan di sepanjang Jalan Salah El-Din.

Show More

Related Articles

Back to top button