Polis siasat unsur ‘orang dalam’ kes samun RM2.91 juta di kondominium mewah
KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kemungkinan wujud unsur “orang dalam” dalam kes samun berkumpulan yang mengakibatkan kerugian RM2.91 juta di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang pada 7 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan setakat ini mendapati terdapat kaitan tertentu antara kejadian tersebut dengan mangsa, namun butiran lanjut tidak dapat didedahkan bagi menjaga kelancaran siasatan.
Menurutnya, polis telah mengenal pasti identiti suspek yang dipercayai terlibat, namun sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat.
“Kita masih menjalankan siasatan secara agresif dan berharap dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat. Beri sedikit masa kepada pihak polis,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Beliau berkata, pihak polis telah merakam percakapan mangsa, penghuni kediaman, kakitangan serta pengawal keselamatan kondominium berkenaan bagi membantu siasatan.
Selain itu, katanya, polis turut berhubung dengan Kedutaan China dan beberapa pihak berkaitan susulan kehilangan pasport milik mangsa dalam kejadian tersebut.
Sebelum itu, polis memaklumkan siasatan turut menjurus kepada kemungkinan elemen orang dalam atau perbuatan bersubahat memandangkan kondominium berkenaan mempunyai sistem kawalan keselamatan yang ketat.
Dalam kejadian antara jam 2 petang hingga 3 petang pada 7 September lalu, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersarung tangan yang dipercayai bersenjatakan pisau menceroboh masuk ke sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy, Jalan Ampang.
Suspek dilaporkan melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan jumlah kerugian dianggarkan RM2.91 juta. Mereka turut merosakkan telefon bimbit serta melarikan pasport milik mangsa, seorang lelaki warga China berusia 28 tahun.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata. Polis sebelum ini turut merakam keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








