Elaun RM8 sejam RELA tak lagi memadai – Saifuddin
PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu kadar elaun upah sejam bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) disemak supaya lebih selari dengan kadar gaji minimum semasa.
Beliau berkata, kadar elaun ketika ini sebanyak RM8 sejam dilihat belum memadai terutama bagi anggota yang bertugas dalam tempoh panjang.
Menurutnya, jika seseorang anggota RELA bertugas selama lapan jam sehari untuk 24 hari, jumlah bayaran diterima hanya RM1,536, iaitu masih di bawah kadar gaji minimum RM1,700.
“Kalau mereka bertugas 12 jam, RM8 kali 12 ialah RM96 dan didarab 24 hari, jumlahnya lebih sedikit sahaja daripada kadar gaji minimum.
“Jadi, susulan perbincangan belanjawan kita dengan Kementerian Kewangan baru-baru ini, saya mahu mencadangkan supaya KSU (Ketua Setiausaha) dan TKSU meneruskan perbincangan ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.
Saifuddin berkata, beliau mahu perkara berkenaan disegerakan dan dilaksanakan seawal tahun kewangan terdekat sekiranya mendapat kelulusan.
“Aspek kebajikan anggota RELA dan unit-unit agensi lain di bawah KDN menjadi antara keutamaan beliau.
“Saya harap dua pengumuman kecil ini memberikan impak besar kepada rakan-rakan RELA yang bertugas,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata KDN akan terus memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, kementerian itu kini dalam fasa menterjemahkan inisiatif ‘AI for KDN, KDN for AI’ kepada aplikasi yang memberi manfaat secara langsung kepada orang awam.
Antaranya, beliau membayangkan penggunaan kios berasaskan AI di lokasi strategik seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu pelancong asing membuat laporan polis menggunakan bahasa masing-masing.
“Kalau pelancong Jepun atau Arab ditimpa musibah seperti beg diragut atau dipukul, bagaimana mereka hendak segera membuat laporan polis?
“Impian saya ialah ada satu kios, dia bercakap dalam bahasa sendiri dan mesin AI menukarkannya kepada bahasa Melayu, kemudian terus dicetak menjadi laporan polis,” katanya lagi.
Beliau berkata teknologi sama boleh digunakan bagi membantu pelancong yang kehilangan pasport tanpa perlu melalui kaedah konvensional dengan mencari balai polis berdekatan.
Saifuddin berkata, KDN juga akan melancarkan AI Digital Human sebagai medium komunikasi baharu antara kementerian dengan rakyat.
Menurutnya, teknologi berkenaan membolehkan orang ramai mengemukakan soalan berkaitan KDN dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Arab dan Jepun.
“Rakyat boleh tanya apa sahaja soalan dan AI Digital Human ini akan menjawabnya. Tanyalah dalam bahasa apa pun,” katanya lagi.
Beliau berkata, KDN sebelum ini turut menjadi kementerian pertama menyediakan draf awal jawapan kepada soalan Ahli Parlimen menggunakan teknologi AI.
“Setiap kali sidang Parlimen, apabila Ahli Parlimen bertanya soalan, AI digunakan untuk menyediakan draf pertama jawapan sebelum pegawai kita mengesahkan jawapan itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Saifuddin turut memuji beberapa inisiatif baharu di bawah RELA termasuk pelan antirasuah dan panduan penugasan yang akan dilancarkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







