Final Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah berlangsung malam ini
KUANTAN – Saingan kemuncak Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026 bagi menentukan juara sulung kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini malam ini.
Acara berkenaan bakal menyaksikan pertembungan sengit pasukan terbaik selepas kejohanan yang berlangsung sejak Jun lalu melibatkan penyertaan sebanyak 105 pasukan dari seluruh daerah di negeri Pahang.
Majlis penutup bermula seawal pukul 4 petang dijangka berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti dan persembahan khas artis tanah air untuk tontonan peminat bola sepak serta seisi keluarga.

Antara artis dan pemuzik yang dijadual membuat persembahan ialah Azlan & Typewriter, Tam Spider, Ara Johari, Baggio Damasutra, Kid Search dan Arghpiez.
Perlawanan akhir pula bakal menyaksikan pertembungan dua pasukan terbaik yang akan berentap bagi merebut Piala Al-Sultan Abdullah, sekali gus melakar sejarah sebagai juara sulung kejohanan.
Saingan Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st itu bermula sejak Jun lalu dengan penyertaan 105 pasukan dari seluruh daerah di negeri ini.
Selain aksi di padang, penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah untuk pengunjung sebagai tanda penghargaan atas sokongan diberikan sepanjang kejohanan.
Hadiah utama ialah sebuah kereta Proton Saga, selain dua motosikal, tiga telefon bimbit dan 200 biji bola.
Penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi, malah berperanan sebagai medium penyatuan komuniti serta membantu merancakkan aktiviti dan ekonomi tempatan.
Orang ramai dan peminat bola sepak dari seluruh negara dijemput hadir ke Stadium Darul Makmur bagi memeriahkan majlis penutupan serta menyaksikan perlawanan akhir. Masuk adalah percuma.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








