Pelancong Jerman maut terjatuh ketika mendaki Gunung Jasar
CAMERON HIGHLANDS – Seorang pelancong Jerman maut selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Jasar, di sini hari ini, dalam kejadian yang turut menyaksikan operasi membawa keluar mayat mangsa dilakukan dalam hujan lebat.
Mangsa, Jorg Habelbusch, 58, dilaporkan terjatuh di kawasan lurah bekas laluan air berhampiran puncak gunung kira-kira pukul 11.30 pagi ketika mendaki bersama isterinya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.04 tengah hari.
Menurutnya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands dikerahkan ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Berdasarkan laporan, mangsa terjatuh di kawasan lurah bekas laluan air berhampiran puncak gunung.
“Ketika tiba di lokasi, didapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Zulfadli berkata, laluan curam menyebabkan anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke lokasi sebelum dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pegawai Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands untuk membawa keluar mayat mangsa.
Katanya, mayat mangsa terpaksa diusung melalui cerun berbahaya dalam keadaan hujan lebat, dengan operasi membawa turun mangsa mengambil masa hampir tiga jam.
Sementara itu, isteri mangsa, Marina Dehne, 57, berkata mereka mula mendaki Gunung Jasar kira-kira pukul 10 pagi sebelum suaminya terjatuh ketika melalui kawasan cerun.
“Muka suami saya terbenam dalam lumpur dan seorang pendaki cuba membantu mengangkat dia tetapi gagal,” katanya.
Menurut Marina, mereka tiba di Cameron Highlands semalam untuk bercuti selama tiga hari di pusat peranginan berkenaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk proses bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







