‘Tunggu saya ya, semoga terus kuat demi anak Malaysia’ – Fadhlina
KUALA LUMPUR – “Buat guru-guru di pedalaman yang akan saya temui nanti, tunggu saya ya! Semoga terus kuat demi anak Malaysia!”
Itu pesanan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menjelang lawatannya ke kawasan pedalaman bagi meninjau secara dekat realiti pendidikan masyarakat Orang Asli.
Fadhlina berkata, beliau akan berada di kawasan pedalaman selama beberapa hari bermula esok bagi melihat keseluruhan aspek pendidikan termasuk latihan guru, pedagogi, kendala operasi, pencapaian serta kejayaan dan sinergi komuniti berkaitan pendidikan Orang Asli.
Menurutnya, beliau turut berkesempatan membaca sebahagian kandungan sebuah buku bertajuk Pembangunan Pendidikan Orang Asli di Malaysia.
“Buku ini banyak mengupas pendekatan sebenar, pemilikan dan pedagogi serta peranan institusi dalam membangunkan pendidikan orang asli.
“Saya harap para penulis, pengkaji dan pemakalah buku ini tidak berhenti setakat buku ini sahaja. Penulisan dan kajian mereka harus ditulis dan diterjemahkan bersama inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, pembangunan pendidikan anak Orang Asli merupakan antara perkara yang dekat dengan perjuangannya dalam memperkukuh konsep pendidikan manusiawi.
“Isu pembangunan pendidikan anak Orang Asli adalah ‘passion’ saya yang cukup mempengaruhi seluruh pendidikan manusiawi yang selalu saya canangkan.
“Barangkali kita akan terputus hubungan buat seketika tatkala saya berada di pedalaman buat beberapa hari. Tetapi sebaik sahaja kembali, kami akan terus bekerja melakukan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak Orang Asli di Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








