Segerakan PRU-16, beri peluang kepada kami pula – Presiden UMNO
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) disegerakan, namun mengingatkan parti supaya tidak menganggap kemenangan akan datang dengan mudah.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO perlu melengkapkan usaha mendapatkan semula mandat rakyat dengan strategi yang tepat serta memahami realiti politik semasa.
“Telah tiba masa PRU-16 disegerakan. Ini bukan desakan, ini bukan harapan, ini kehendak rakyat, cukup-cukuplah… bagi peluang kami pula.
“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita telah berlawan, kita lawan sampai… menang,” katanya yang disambut laungan “menang” oleh perwakilan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), yang disiarkan secara langsung hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu dijadikan pengajaran, manakala kemenangan di Johor mencerminkan kebangkitan ‘Gelombang Biru’ dan pencapaian di Negeri Sembilan membuktikan kekuatan hasil persefahaman.
Menurut beliau, meskipun ‘DNA UMNO’ ialah memimpin, kemenangan tidak datang bergolek dan memerlukan strategi yang mengambil kira keadaan di lapangan.
“Selama 80 tahun kita memimpin sebagai parti politik kita tidak memencilkan masyarakat lain, kita mempertahankan asas kenegaraan. Benar kita perjuangkan Melayu, kita jugalah yang menyatukan kemajmukan melalui parti Perikatan dan Barisan Nasional,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan anggota parti supaya memahami perubahan zaman dan realiti politik dalam menentukan hala tuju perjuangan UMNO.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








