BERITA SEMASA

945 syarikat kenderaan barangan, bas diberi 14 hari selesai saman RM12.18 juta

IPOH – Sebanyak 940 syarikat kenderaan barangan dan lima syarikat bas yang mempunyai lebih 20 saman tertunggak diberi tempoh 14 hari bermula esok untuk melunaskan keseluruhan saman berjumlah RM12.18 juta atau berdepan tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesemua syarikat terbabit mempunyai keseluruhan 40,595 saman tertunggak bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 940 syarikat kenderaan barangan mempunyai 40,222 saman tertunggak, manakala lima syarikat bas pula merekodkan 373 saman.

“Tiada lagi ruang untuk pesalah tegar terus mengabaikan saman. Menerusi Op Tegar, JPJ akan memperhebatkan tindakan terhadap syarikat dan pemandu yang ingkar, terutama pesalah tegar yang mempunyai rekod saman tertunggak yang tinggi.

“Malah, tindakan susulan secara bersasar akan diambil terhadap syarikat pemilik kenderaan serta pemandu yang mempunyai jumlah saman tertunggak yang tinggi dan berulang kali gagal menyelesaikannya,” katanya pada sidang media Op Tegar di JPJ Ipoh, di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata, sekiranya syarikat terbabit masih gagal melunaskan semua saman dalam tempoh ditetapkan, tindakan lanjut akan diambil terhadap mereka.

Katanya, JPJ antara lain akan bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menggantung permit syarikat berkenaan.

“Selain itu, sekiranya kenderaan syarikat terbabit berada di atas jalan raya, pengarah-pengarah JPJ negeri akan mengambil tindakan menahan dan menyita kenderaan sehingga saman berkenaan diselesaikan.

“JPJ tidak akan berkompromi selepas ini, kita tidak akan beri muka. Kita sudah memberi peluang kepada syarikat-syarikat ini untuk menyelesaikan saman, tetapi masih ada yang berdegil walaupun notis dan peringatan telah dikeluarkan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button