BERITA SEMASA

M360 ASEAN: Ketahanan infrastruktur digital perlu dibina sebelum krisis berlaku 

KUALA LUMPUR – Ketahanan infrastruktur digital perlu dirancang dan dibina sejak awal bagi memastikan perkhidmatan penting terus berfungsi ketika berlaku bencana, serangan siber atau gangguan terhadap rangkaian komunikasi.

Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Sulyna Abdullah berkata, gangguan pada satu bahagian infrastruktur digital boleh memberi kesan kepada pelbagai sektor yang saling bergantung.

m360
Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Sulyna Abdullah ketika menyampaikan ucapan pada acara M360 ASEAN 2026 di Kuala Lumpur hari ini. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

Katanya ia termasuk komunikasi, tenaga, kewangan, kesejahteraan masyarakat dan tindak balas kecemasan.

“Ketahanan tidak boleh dibina sistem demi sistem atau negara demi negara.

“Kita perlu memahami bagaimana kehidupan digital kita saling berkait dan bersedia bersama sebelum gangguan menjejaskan perkhidmatan penting yang bergantung kepada kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena acara M360 ASEAN 2026 di Hotel Grand Hyatt, di sini hari ini.

Menurutnya, kebergantungan terhadap infrastruktur digital semakin meningkat, sekali gus menjadikan keperluan untuk mengenal pasti titik kelemahan dan kebergantungan antara sistem semakin penting.

Beliau berkata, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah mengukuhkan rangkaian, standard dan sistem pemulihan serta meningkatkan penyelarasan antara sektor dan peringkat pentadbiran.

Sulyna berkata, dunia sudah menyaksikan bagaimana gangguan terhadap infrastruktur boleh memberi kesan besar kepada kesalinghubungan digital.

Beliau turut memberi contoh letusan gunung berapi pada 2022 yang menyebabkan satu-satunya hubungan komunikasi antarabangsa di sebuah lokasi terputus sekali gus menjejaskan hubungan digital utama dengan dunia selama kira-kira lima minggu.

“Laporan ITU mengenai ketahanan digital turut mengenal pasti keperluan mempercepatkan pembaikan, meningkatkan pemantauan risiko dan perkongsian maklumat, memperkukuh koordinasi antara kerajaan dengan industri serta melabur dalam rangkaian yang lebih pelbagai dan mempunyai sistem sokongan.

“Bagi rantau yang mempunyai pergantungan digital yang semakin mendalam, ketahanan perlu direka bentuk sejak awal,” katanya.

Sulyna berkata, pembangunan ekosistem digital masa depan juga memerlukan standard teknikal yang jelas, dasar yang boleh dilaksanakan, institusi yang mampu bertindak mengikut perubahan teknologi serta infrastruktur yang mampu memenuhi perkembangan keperluan masyarakat.

M360 ASEAN 2026 menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia, pemimpin industri dan pemain teknologi bagi meneliti bagaimana ASEAN boleh menterjemahkan aspirasi digitalnya kepada tindakan di peringkat serantau.

Acara selama dua hari sehingga esok itu dianjurkan oleh M360 Series dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan hos.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button