MB Negeri Sembilan buat laporan polis berhubung Surat Cara Proklamasi
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim semalam membuat laporan polis berhubung Surat Cara Proklamasi yang didakwa ditandatanganinya.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (under duress).
“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar pukul 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahwa kerajaan negeri berpendirian surat cara berkenaan tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Ismail setersunya berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang semalam turut membincangkan mengenai penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai.
“Jawatankuasa berkenaan akan menjadi wadah bagi mencari penyelesaian terhadap isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat,” katanya lagi.
Beliau dalam masa sama turut menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








