DAP cadang peruntukan pembangunan kawasan sama rata tanpa diskriminasi parti
KUALA LUMPUR – DAP mencadangkan peruntukan pembangunan kawasan diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, prinsip berkenaan bukan sahaja wajar dilaksanakan di peringkat Persekutuan, malah perlu diperluaskan kepada semua kerajaan negeri di seluruh negara.
Loke berkata, pendirian itu merupakan antara ketetapan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam mesyuarat semalam, yang juga merupakan mesyuarat pertama CEC selepas Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos lalu.
“Peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, CEC turut meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri, Chow Kon Yeow supaya menggubal Enakmen Dana Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund).
Langkah itu katanya, bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang tanpa mengira parti politik yang diwakili.
“Ia bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tanpa mengira parti politik yang diwakili. Pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata dapat dijamin melalui perundangan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata, CEC turut membincangkan keputusan Persidangan Kebangsaan DAP berhubung usul yang diluluskan perwakilan untuk memberikan mandat kepada kepimpinan parti supaya DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan MADANI sehingga berakhirnya tempoh Parlimen ini.
Katanya, CEC menghormati keputusan yang dibuat para perwakilan dan bertekad melaksanakan mandat berkenaan dengan penuh tanggungjawab.
“DAP akan terus berusaha untuk memastikan pelbagai agenda reformasi dapat dilaksanakan,” katanya lagi.
Dalam hubungan itu, CEC mengambil pendirian bahawa dua agenda reformasi penting yang melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan seharusnya dibahaskan dan diputuskan di Parlimen pada persidangan yang akan datang pada Oktober.
Dua agenda berkenaan ialah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Sementara itu, mesyuarat CEC turut membincangkan persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.
DAP akan membuat persiapan sewajarnya untuk mempertahankan semua kerusi yang kini disandangnya, di samping mengenal pasti kerusi lain yang berpotensi untuk ditandingi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








