BERITA SEMASA

350 murid SK Sungai Tekali terima manfaat Program Hidrasi Sekolah

HULU LANGAT – Seramai 350 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tekali di sini menerima manfaat menerusi Program Hidrasi Sekolah yang dilaksanakan kumpulan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB), Water Wizard.

Program yang membawa slogan ‘Hydrate to Elevate’ itu bertujuan meningkatkan akses murid kepada air minuman bersih selain menggalakkan amalan hidrasi yang lebih sihat dalam rutin harian mereka.

Ketua Projek Water Wizard, Raja Syahiran Syahmi Raja Samsul Bahri, berkata program berkenaan dirangka bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hidrasi, tetapi turut menangani cabaran praktikal yang dihadapi murid dalam mendapatkan akses kepada air minuman bersih.

“Kami mahu menangani isu hidrasi bukan sekadar daripada sudut kesedaran, tetapi juga sebagai cabaran praktikal.

“Justeru, kami memberi tumpuan kepada penyediaan akses kepada air minuman bersih, pendidikan hidrasi dan botol air guna semula supaya murid mempunyai kemudahan dan pengetahuan untuk mengamalkan hidrasi yang lebih baik setiap hari,” katanya kepada Malaysia Tribune.

400 botol air guna semula diagihkan kepada murid.

Menerusi program berkenaan, sebanyak 400 botol air guna semula diagihkan kepada murid, manakala tiga unit mesin penapis air Cuckoo King-Stand (L) tajaan Cuckoo International (MAL) Berhad turut dipasang di sekolah berkenaan.

Penajaan itu merangkumi pemasangan percuma serta penyelenggaraan selama tiga tahun, sekali gus membolehkan kemudahan akses kepada air minuman bersih terus dimanfaatkan warga sekolah selepas program berakhir.

Selain penyediaan kemudahan air, program berkenaan turut disusuli sesi ceramah kesedaran hidrasi yang disampaikan Pegawai Dietetik Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Norhaishah Harun.

Sesi tersebut memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan pengambilan air yang mencukupi serta amalan praktikal untuk memastikan tubuh kekal terhidrat sepanjang hari.

Sesi interaktif dan soal jawab turut diadakan bagi menggalakkan penglibatan aktif murid serta membantu mereka memahami kepentingan membentuk tabiat hidrasi yang sihat sejak usia muda.

Raja Syahiran berkata, pelaksanaan program tersebut turut mengambil kira dapatan penyelidikan mengenai status hidrasi dalam kalangan murid di Malaysia.

Beliau berkata, satu kajian pada 2020 yang melibatkan 230 murid berusia antara 10 hingga 14 tahun di Petaling Perdana, Selangor mendapati 59.6 peratus mengalami dehidrasi ringan atau sederhana, manakala hanya 33 peratus berada dalam keadaan terhidrat dengan baik.

“Dapatan tersebut mengukuhkan pandangan kami bahawa kesedaran tentang hidrasi wajar dibentuk sejak bangku sekolah.

“Membina kesedaran tentang kepentingan air sejak awal dapat membantu membentuk tabiat yang bertanggungjawab dan lebih sihat untuk masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Tekali, Ronzi Zainal, berkata inisiatif berkenaan selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat, sihat dan kondusif.

“Inisiatif ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat, sihat dan kondusif, di samping menggalakkan amalan hidrasi yang baik serta gaya hidup sihat dalam kalangan murid,” katanya.

Program Hidrasi Sekolah itu mencerminkan usaha pelajar MBA UKM-GSB menerapkan ilmu serta kemahiran yang diperoleh di luar bilik kuliah menerusi inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

Melalui gabungan penyediaan kemudahan air, pendidikan kesedaran hidrasi dan penggunaan botol air guna semula, program itu diharap dapat menjadikan amalan hidrasi sihat lebih mudah dan praktikal dalam kehidupan seharian murid.

Water Wizard turut merakamkan penghargaan kepada penaja program, Cuckoo International (MAL) Berhad, Fantastic Food Factory Sdn Bhd dan Silver Brand Printing Enterprise, selain SK Sungai Tekali, UKM, pakar yang terlibat serta semua pihak yang menyokong pelaksanaan program tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button