BERITA SEMASA

Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah jika bimbang kesihatan akibat jerebu – Fadhlina

PUTRAJAYA – Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memahami kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini.

“Jika bimbang akan kesihatan anak, ibu bapa dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan pihak sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, tindakan ketika jerebu dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai rujukan rasmi.

“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau bacaan IPU dan keadaan semasa dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan yang terjejas.

“Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button