Bekas Pengarah Besar FELDA direman lima hari, bantu siasatan kes salah guna kuasa
PUTRAJAYA – Bekas Pengarah Besar FELDA direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara serta urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 60-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM.
Suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.15 pagi tadi dan dilihat meninggalkan mahkamah kira-kira dua jam kemudian, lapor Buletin TV3.
Semalam, beliau bersama seorang lagi individu ditahan pada pukul 4 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
BACA JUGA:
Bekas pengarah besar badan berkanun tiba di Mahkamah Putrajaya untuk prosiding reman
Sementara itu, sumber memaklumkan seorang lagi individu yang ditahan mengalami masalah kesihatan dan kini menerima rawatan di hospital.
SPRM dijangka memohon perintah reman terhadap individu berkenaan di hospital terbabit.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan tujuh kertas siasatan dibuka minggu lalu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Siasatan itu dijalankan menerusi operasi khas dikenali sebagai Op Fella yang memberi tumpuan terhadap transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC sepanjang tempoh 10 tahun, antara 2010 hingga 2020.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








