BERITA SEMASAPMX

Dakwaan salah guna FELDA didedah beberapa minggu ini – Anwar

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan isu dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan didedahkan dalam tempoh beberapa minggu ini.

Anwar berkata, pendedahan itu penting susulan isu pengurusan yang lemah serta dakwaan pengambilan hak rakyat oleh pihak yang diberikan amanah menguruskan agensi berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya membebankan peneroka akibat kelemahan pengurusan FELDA, sebaliknya perlu memastikan kepentingan golongan berkenaan terus dilindungi.

“Peneroka yang harus bayar. Jadi saya bertanggungjawab ke atas Felda sekarang. Saya tak tahu sebagai manusia, saya nak bebankan peneroka dari kampung-kampung, halamannya miskin, bukan salah mereka.

“Dia bekerja. Masuk hutan belantara, melebas hutan, ada hasilnya, urus lemah, wang songlap atau ada sakau. Kemudian bila rugi, nak bebankan orang kampung, peneroka. Saya tak sanggup. Jadi terpaksa kerajaan tanggung, berapa? Hampir RM1 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Baca juga : RM980 juta setahun tampung kerugian FELDA, kerajaan enggan bebankan peneroka – PM

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan tindakan terhadap mana-mana pihak yang disiasat bukan dibuat atas kepentingan politik, sebaliknya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pengurusan negara berjalan mengikut hukum serta membebaskan negara daripada sebarang kecurangan.

“Jangan politikkan (isu ini). Fikirkanlah, yang siasat bukan saya, itu badan penguatkuasaan, yang memutuskan untuk mendakwa itu Peguam Negara, malah mereka ada pasukan yang meneliti setiap kes. Yang menghukum itu pula hakim,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain memastikan perbelanjaan negara diurus dengan baik kerana sebarang ketirisan akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat di peringkat bawahan.

“Kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain memastikan perbelanjaan kita diurus dengan baik. Belanja, peruntukan boleh bertambah, tetapi kalau bocor, tiris, yang terdera itu rakyat di bawah, golongan petani, nelayan, pesawah,” katanya.

Perkembangan itu berlaku ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Sebelum ini, SPRM memaklumkan beberapa individu berkemungkinan ditahan secara berperingkat berhubung siasatan berkenaan, manakala 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

SPRM turut membuka tujuh kertas siasatan menerusi operasi khas berskala besar dikenali sebagai OPS FELLA yang memfokuskan transaksi pelaburan serta pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC bagi tempoh 10 tahun antara 2010 hingga 2020.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button