MAHA 2026 catat 4.3 juta pengunjung, jualan RM66.88 juta
SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merekodkan kira-kira 4.3 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya, dengan nilai jualan langsung mencecah RM66.88 juta.
Pencapaian itu sekali gus membuktikan acara agromakanan berskala besar masih mendapat sambutan memberangsangkan, selain menunjukkan kuasa beli pengunjung terhadap produk serta hasil agromakanan tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kekangan perbelanjaan bukan penghalang kepada kejayaan MAHA 2026.
Katanya, sehingga semalam, seramai 4,296,662 pengunjung direkodkan hadir ke MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini termasuk 1.72 juta golongan belia.
“Jumlah ini membuktikan keterujaan rakyat Malaysia terhadap acara yang sentiasa ditunggu-tunggu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di MAEPS, hari ini.
Baca juga : PM beri bayangan peruntukan KPKM boleh ditambah, dengan syarat tadbir urus diperkukuh
Mohamad berkata, MAHA 2026 turut menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa dari pelbagai negara.
Katanya, selain jualan langsung, penganjuran MAHA 2026 turut berjaya memeterai memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kolaborasi strategik dan jangkaan pelaburan bernilai kira-kira RM10.35 bilion.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran MAHA juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor agromakanan negara, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Katanya, Kerajaan MADANI berjaya mengurangkan defisit imbangan dagangan sektor agromakanan sebanyak RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Malah, bagi tempoh sehingga Mei tahun ini, defisit tersebut terus menurun sebanyak 26.4 peratus.
“Pada 2025, nilai eksport meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion, manakala nilai import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion. Sebagai contoh, eksport nanas mencatatkan peningkatan sehingga tiga kali ganda berbanding tiga tahun lalu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








